MASBUQ

Disediakan oleh:
Ustaz Dr.Udah Mohsin

بسم الله الرحمن الرحيم
ORANG YANG SOLAT DALAM KEADAAN MASBUQ KETIKA TAKBIRATUL IHRAM WAJIBLAH KE ATASNYA DALAM KEDAAN BERDIRI TEGAK
Masbuq ialah Orang yang tidak mendapatkan masa yang sempat membaca fatihah bersama imam.
)حاشية البجيرمي على شرح المنهج 1 / 341):
Contohnya, makmum yang mendapati imamnya telah ruku`, maka apabila dia hendak solat berimamkan kepada imam yang sedang rukuk itu, wajib ke atasnya ketika bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri tegak. Ini ialah kerana orang yang mampu berdiri wajib ke atasnya solat fardu dengan keadaan berdiri..
Dalilnya:
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصَّلاَةِ، فَقَالَ: «صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ»
صحيح البخاري ،كتاب تقصير الصلاة ، باب إذا لم يطق قاعدا صلى على جنب))
Bermaksud: Daripada `Imran bin Husayn r.a. katanya: Adalah bagiku penyakit buasir, lalu aku bertanya Nabi s.a.w. mengenai solat, jawab Baginda: Hendaklah engkau solat dalam keadaan berdiri, maka jika engkau tidak mampu, solatlah dalam keadaan duduk, maka jika engkau tidak mampu, solatlah dalam keadaan mengiring.
Nas di atas menunjukkan bagi orang yang mampu berdiri wajib ke atasnya solat fardu dengan berdiri.
Setelah seseorang itu berdiri tegak maka dia hendaklah  takbiratul ihram. Sabda Rasulullah s.a.w.
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ،
(صحيح البخاري، أبواب صفة الصلاة ،باب أمر النبي صلى الله عليه وسلم الذي لا يتم ركوعه بالإعادة
Bermaksud: Apabila engkau berdiri untuk menunaikan solah maka engkau hendaklah bertakbir. Maksud takbir di sini ialah takbiratul ihram. Hadith ini menunjukkan takbiratul ihram itu dilakukan dalam keadaan berdiri.
Dari nas-nas di atas menunjukkan: Hadith yang pertama, bagi orang yang mampu solat dengan berdiri dia hendaklah solat dengan berdiri. Manakala Hadith yang kedua menunjukkan: Setelah seseoarang itu berdiri maka permulaan solatnya ialah takbiratul ihram. Oleh itu takbiratul ihram itu hendaklah dilakukan dengan keadaan berdiri tegak. Lepas dia bertakbiratul ihram dengan keadaan berdiri tegak barulah dia  mengikut imam.
Dalam masalah ini Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya, al-Majmu`: Bagi makmum yang masbuq dan mendapati imamnya sedang ruku` dia wajib melafazkan takbirtul ihram dalam semua huruf-hurufnya dalam kedaan berdiri. (Al-Majmu`t.t, 3: 237).
Sama dengan ruku` ialah yang selepasnya seperti sujud.
Dari keterangan-keterangan di atas: Seseorang yang masbuq yang medapati imam bagi solat tersebut sedang ruku` dan yang selepasnya dia hendaklah memulakan takbiratul ihramnya dengan sampurna dalam keadaan berdiri tegak.  Setelah selesai, barulah dia ruku` atau yang selepasnya mengikut imam.
Orang yang sedang berjalan menuju kepada imam dan sambil bertakbiratul ihram, tidak sah takbiratul ihramnya dan tidak sah solatnya. Begitu juga orang yang belum menyampurnakan takbiratul ihramnya dalam keadaan berdiri tegak, dia terus ruku` tadak sah takbiratul ihramnya yang menjadikan tidak sah solatnya.
Seseorang yang mengerjakan solat itu apabila dia dapat ruku` bersama-sama imam dengan kadar tuma’ninah maka dia dikira mendapa rakaat. Kadar sekurang tuma’ninah pada ruku` sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi ialah:
وَأَقَلُّهَا أَنْ يَمْكُثَ فِي هَيْئَةِ الرُّكُوعِ حَتَّى تَسْتَقِرَّ أَعْضَاؤُهُ وَتَنْفَصِلَ حَرَكَةُ هُوِيِّهِ عَنْ ارْتِفَاعِهِ مِنْ الرُّكُوعِ وَلَوْ جَاوَزَ حَدَّ أَقَلِّ الركوع بلا خلاف
المجموع شرح المهذب (3 / 409):
Sekurang-kurangnya, seseorang itu berada pada keadaan ruku`, sehingga tetap anggota-anggotanya, dan bercerai pergerakan turun dengan pergerakan naik dari ruku`, sekalipun dia melebihi kadar sekurang-kurangnya ruku`.
Sama-sama kita mengambil perhatian dalam hal ini supaya solat kita sah dan diterima Allah s.a.w

SUNAT-SUNAT YANG BOLEH MENYALAHI IMAM DAN YANG TIDAK BOLEH MENYALAHI IMAM

Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu` : Jika imam meninggalkan sunat maka jika makmum melakukannya membawa kepada tertinggal yang sangat, seperti sujud tilawah dan tasahhud awal tidak harus makmum melakukannya, jika makmum melakukannnya batal solatnya. Walau bagaimana pun makmum boleh mufaraqah untuk melakukannya.
Jika  imam meninggalkan sujud sahwi atau salam yang kedua maka makmum boleh melakukannya kerana makmum melakukannya setelah selesai mengikut imam.
Jika makmum melakukan perkara sunat itu tidak membawa kepada tertinggal yang sangat, seperti imam meninggalakan duduk istirahah maka makmum boleh melakukannya. Imam al-Nawawi berkata lagi: Menurut sahabat-sahabat kami: Kerana menyalahi padanya hanya sedikit.
Imam al-Nawawi berkata lagi: Mereka (ulama-ulama dalam mazhab al-Shafi`i) berkata: Tidak mengapa makmum menyalahi imam dalam qunut jika ditinggalkan oleh imam, dan makmum boleh mendapatkan imam dalam tempoh yang hampir dengan bahawa makmum mendapatkan imam dalam sujud pertama.
المجموع شرح المهذب (4 / 240):

Dalam Kitab Matla` al-Badrayn mengenai sunat-sunat yang boleh menyalahi imam dan yang tidak boleh menyalahi imam, ada dinyatakan dengan lebih jelas.

Sujud tilawah
Wajib mengikut imam pada membuat dan meniggalkannya. (Matla` al-Badrayn, halaman 42)
Maksudnya: Sujud tilawah, jika imam membuatnya maka makmum wajib membuatnya, dan jika imam meninggalkannya maka wajib bagi makmum meninggalkannya.

Sujud sahwi
Wajib mengikut imam pada membuatnya, tidak pada meninggalkan. Maka jika imam meninggalkannya sunat bagi makmum sujud setelah imam memberi salam dan sebelum makmum memberi salam. (Matla` al-Badrayn, halaman 42). Jika imam membuatnya maka makmum wajib membuatnya.

Tasahhud awal
Wajib makmum mengikut imam pada meninggalkannya, tidak wajib bagi makmum mengikut pada membuatnya. Jika imam meninggalkannya wajib bagi makmum meninggalkannya. Jika imam membuatnya harus bagi makmum meninggalkannnya dan berdiri dia dengan sengaja. (Matla` al-Badrayn, halaman 42)

Qunut
Tidak wajib mengikut imam pada membuatnya dan tidak wajib ikut imam pada meninggalkannya.
Maka jika diperbuat oleh imam harus bagi makmum meninggalkannya dan dia terus sujud dengan sengaja. Jika ditinggalkannya oleh imam sunat bagi makmum membutnya jika dia boleh mendapatkan imam pada sujud yang pertama. Harus bagi makmum membuatnya jika dia mendapatkan imam pada duduk di antara dua sujud. Ditegah membuatnya jika dia mendapatkan imam pada sujud kedua.  (Matla` al-Badrayn, halaman 42).  

والحمد لله رب العالمين 
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه  اجمعين.