Dr. Udah bin Mohsin.
HUKUM SOLAT DI ATAS KERUSI
Setelah meneliti nas-nas
yang berkaitan dengan solat secara duduk dan setelah meneliti
pandangan-pandangan ulamak mengenai tajuk ini maka menurut penulis: Seseorang
yang tidak mampu solat dengan berdiri maka bolehlah baginya solat dengan duduk
di atas lantai. Jika tidak mampu duduk
di atas lantai bolehlah baginya solat di atas kerusi. Ini ialah kerana solat di
atas lantai itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat
Baginda, para Tabi`in dan yang selepas mereka, termasuklah imam-imam, para
mujtahidin. Ini jugalah yang dibincangkan oleh ulama-ulama Hadith dan fekah
silam. Solat dengan duduk di atas kerusi ini boleh dilakukan dan ia didahulukan
sebelum mengiring ialah kerana solat dengan duduk di atas kerusi itu adalah
juga termasuk dalam solat secara duduk yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.:
Solatlah dengan berdiri jika tidak mampu maka duduk. Duduk itu samaada di
lantai atau di atas kerusi kedua-duanya dinamakan duduk (qu`ud). Ia dikemudiankan
dari duduk di atas lantai kerana ia
tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., para Sahabat dan seterusnya ulama-ulama
besar setelah mereka, termasuklah ulama-ulama ahli ijtihad. Ia didahulukan dari
mengiring kerana ia masih termasuk dalam makna duduk (qu`ud) sebagaimana
yang telah diterangkan di atas. Oleh itu ia lebih menyerupai kepada duduk di
atas lantai berbanding dengan mengiring. Solat dengan duduk ini juga telah
diharuskan oleh ramai di kalangan ulama masa kini. Ia juga lebih mudah untuk
bangun bagi qiyam, iktidal dan rukuk berbanding dengan mengiring.
Perhatian:
Bagi orang yang bersolat dengan duduk di atas
lantai
Seorang yang bersolat
dengan duduk di atas lantai, Jika dia mampu bertakbiratulihram dengan
berdiri wajib dilakukan takbiratulihram itu dengan berdiri. jika dia
melakukannya dengan duduk tidak sah solatnya. Begitu juga jika dia mampu rukuk
dengan berdiri wajib baginya rukuk dengan berdiri. Begitu juga dengan iktidal
dan sujud, jika dia mampu untuk melakukan seperti biasa maka wajib baginya
melakukan seperti biasa.
Jika dia tidak mampu
berdiri dia bertakbiratulihram dengan duduk. Begitulah dengan
perbuatan-perbuatan yang lain. Sebagaimana telah dibincangkan sebelum ini.
Bagi orang yang solat dengan duduk di atas kerusi
seseorang yang bersolat
dengan duduk di atas kerusi, Jika dia mampu bertakbiratulihram dengan
berdiri wajib dilakukan takbiratulihram itu dengan berdiri, jika dia
melakukannya dengan duduk tidak sah solatnya. Begitu juga jika dia mampu rukuk
dengan berdiri wajib baginya rukuk dengan berdiri. Begitu juga dengan iktidal
dan sujud jika dia mampu untuk melakukan seperti biasa maka wajib baginya
melakukan seperti biasa.
Jika dia tidak mampu
berdiri, tidak mampu sujud di atas lantai, maka dia mengerjakan qiyam, rukuk,
iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan tasyahhud dengan duduk di atas kerusi.
Untuk rukuk
Sekurang-kurang rukuk bagi orang yang
sembahyang duduk ialah bahawa dia tunduk ke bumi sekadar dahinya bersetentangan
dengan belakang lututnya. Adapun yang paling sampurna ialah dia tunduk ke bumi
sekira-kira dahinya bersetentagan dengan tempat sujudnya. Ini telah dibincang
sebelum ini ketika membincangkan solat dengan duduk.
Untuk sujud
Jika orang yang bersolat dengan duduk di atas kerusi itu
mampu sujud seperti biasa dia wajib melakukannya.
Jika tidak mampu, dia hendaklah
menundukkan kepalanya seberapa yang terkebawah hampir dengan lantai dan
kedua-dua tangannya di atas lantai. Kerana anggota sujud itu adalah dahi,
kedua-dua tangan, kedua-dua jari-jari kaki dan kedua-dua lutut. Jika tidak
mampu, maka hendaklah dilakukan sekadar yang dia mampu.
Jika tidak boleh membongkokkan badan untuk rukuk dan sujud
Jika orang yang mengerjakan solat itu
tidak mampu membongkokkan badan untuk
rukuk dan sujud maka dia hendaklah menundukkan badannya untuk rukuk sehingga
kadar sekurang-kurang rukuk dan bagi sujud hendaklah lebih dari itu mengikut
semampunya. Jika tidak mampu juga untuk tunduk sekadar sekurang-kurang rukuk
maka lakukanlah sekadar yang boleh, adalah tidak mengapa jika sujudnya sama
dengan rukuknya.