PUASA SEBAGAI PERISAI

بسم الله الرحمن الرحيم
Dr. Udah bin Mohsin.
Masjid al-Istiqamah, Sg Merab Luar.

PUASA ADALAH PERISAI YANG MENEGAH DARI DOSA DAN MENEGAH DARI API NERAKA

Renungi Hadith di bawah ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: " الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ "
(صحيح البخارى، كتاب الصوم، باب فضل الصوم)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Puasa itu adalah perisai, maka oleh itu orang yang berpuasa janganlah dia melakukan al-rafas dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil, dan jika ada seseorang yang hendak bergaduh dengannya atau memakinya maka katalah: Aku berpuasa, sebanyak dua kali.
Maksud: “Puasa itu perisai” Imam al-Nawawi berkata: Maknanya ialah puasa itu perisai, menegah dari al-rafath, menegah dari dosa-dosa dan menegah dari api neraka. شرح النووي على مسلم (8 / 30)
Maksud: “al-rafath” Menurut al-Hafiz Ibn Hajar ia adalah digunakan untuk perkataan yang keji, untuk jimak dan yang sebelumnya dan mungkin juga untuk yang lebih umum dari itu. (Fath al-Bari, 4: 104).
Penjelasan “janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil” (وَلاَ يَجْهَلْ،). Seperti memekik-mekik, melaung dan yang seumpamanya. Imam al-Qurtubi berkata: Ini bukan bererti, perbuatan-perbuatan ini harus dilakukan pada hari tidak berpuasa, tetapi maksudnya ialah pada hari berpuasa lebih kuat tegahannnya. (Fath al-Bari, 4: 104).
Maksud “dan jika ada seseorang yang hendak bergaduh dengannya atau memakinya maka katalah: Aku berpuasa. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar: Maksudnya jangan mengikut perbuatannya tetapi memadai dengan berkata: Aku berpuasa. (Fath al-Bari, 4: 104).
Maksud: “maka katalah: Aku berpuasa” Adakah perkataan ini ditujukan kepada orang itu atau dia berkata kepada dirinya? Menurut Imam al-Mutawalli dan imam-imam yang lain adalah kepada dirinya sendiri. Manakala menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar ia adalah untuk orang itu, dalam kitab Sharh al-Mudhadhab beliau menyebut kedua-duanya baik. Berkata dengan lidah adalah lebih kuat dan jika dia melakukan kedua-duanya adalah lebih baik. Kata Imam al-Ruyani Jika puasa itu untuk Ramadan dia hendaklah berkata dengan lidahnya dan jika yang lain dari bulan Ramadan dia berkata kepada dirinya. Menurut Ibn al-`Arabi (seorang orang ulamak besar Hadith) tempat berlaku khilaf adalah pada puasa sunat, adapun pada puasa fardhu maka dia hendeaklah berkata dengan lisannya. (Fath al-Bari, 4: 105).
Faedah perkataan “ Aku berpuasa”  إِنِّي صَائِمٌ  Perkataan itu boleh menegah orang itu dari meneruskan perbuatannya, tetapi jika orang itu meneruskan perbuatnnya dia hendaklah mempertahankan dirinya dengan cara yang paling ringan (بالأخف فالأخف), tetapi jika orang itu hanya memaki maka jangan ikut yang dilakukannya, tetapi memadai dengan berkata “ aku berpuasa”. (Fath al-Bari, 4: 105).

Berpandukan kepada Hadith di atas sebagaimana yang telah disyarahkan oleh ulamak-ulamak besar di atas, bahawa puasa itu adalah merupakan perisi yang menegah orang yang berpuasa itu dari melakukan dosa, dengan itu puasa itu menjauhkan pelakunya dari api neraka.
Orang yang berpuasa jangan sekali-kali melakukan jimak diwaktu siang hari. Janganlah sekali-kali diwaktu malamnya dia pergi ke tempat-tempat maksiat, berzina, minum arak dan lain-lain. Orang yang berpuasa hendaklah menjauhi mengumpat, mencerca, membatu api dan lain-lain. Orang yang berpuasa juga hendakaklah menjauhi dari memekik, melolong, bercakap kasar dan lain-lain. Seterusnya orang yang berpuasa hendaklah mejauhi segala perkara yang bertentangan dengan syarak. Ini bukan bererti perkara yang dilarang oleh syarak itu boleh dilakukan pada ketika tidak berpuasa tetapi maksudnya ialah ketika berpuasa tegahannya adalah lebih kuat lagi. Jika ada orang yang hendak meggaduhinya atau memakinya dia hendaklah berkata: Aku berpuasa.
Sama-sama kita berdoa kepada Allah agar Allah menerima puasa kita, Allah menjauhkan kita dari api nereka dan terus memasukkan kita ke dalam syurga-Nya.


SESIAPA YANG TIDAK MENINGGALKAN PERKATAAN DUSTA, BAHKAN MELAKUKANNYA MAKA ALLAH TIDAK BERHAJAT KEPADA PUASANYA

Renungi Hadith di bawah ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
(صحيح البخارى، كتاب الصوم، باب من لم يدع قول الزور والعمل به فى الصوم)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w.bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta bahkan melakukannya maka tiadalah bagi Allah hajat pada bahawa dia meninggalkan makanan dan minumannya.
Maksud: “maka tiadalah bagi Allah hajat pada bahawa dia meninggalkan makanan dan minumannya”
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari memetik pendapat-pendapat ulamak mengenainya:
Pertama, Ibn Battal berkata: Ini bukan bermakna bahawa dia meninggalkan puasanya, tetapi perkataan itu adalah sebagai menakutkan. Maksud perkataan itu ialah Allah tidak menghendaki puasanya.
Kedua, Ibn al-Munayyir berkata: Ia adalah menunjukkan kepada tidak diterima. Bermaksud puasa yang disertai dengan pendustaan ditolak oleh Allah, yang diterima ialah puasa yang selamat darinya.
Ketiga, Ibn al-`Arabi ( seorang ulama besar dalam Hadith) berkata: Kandungan Hadith ini, orang yang melakukan perkara itu tidak diberi pahala pada puasanya. Bermakna bahawa pahala puasa tidak boleh mengganti, berbanding dengan dosa berdusta dan apa yang disebut bersamanya (iaitu perkataan yang keji (al-rafth) dan perbutan yang dilakukan oleh orang jahil (yajhal). Ini disebut dalam Hadith sebelumnya.
Keempat, al-Baydawi berkata: Bukanlah maksud pensyariatan puasa itu semata-mata lapar dan dahaga sahaja, bahkan mesti dikuti dengan mengalahkan sahwat dan menundukkan nafsul Ammarah dia bawah nafsul Mutmainnah. Jika tidak berlaku demikian Allah tidak melihatnya dengan penerimaan. (Allah tidak menerima). Oleh itu perkataan “tiadalah bagi Allah hajat” adalah menunjukkan Allah tidak menerima.
Dari Kenyataan ulamak-ulamak di atas dalam memahami Hadith di atas,  bahawa orang yang berpuasa sedangkan dia berdusta, memperkatakan perkataan yang kotor dan keji (al-rafth) serta melakukan perbuatan orang yang jahil seperti memekik melaung, ini disebut oleh Imam al-Bukhari dalam Hadith yang sebelumnya, maka Allah tidak menerima puasanya.
Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menambah lagi: Berdalailkan dari Hadith ini bahawa perbuatan-perbuatan ini (berdusta, memperkatakan perkataan yang kotor dan keji (al-rafth), dan melakukan perbuatan orang yang jahil seperti memekik melaung adalah mengurang puasa. Beliau seterusnya mengambil pendapat al-Subki al-Kabir: Tujuan puasa pada asalnya adalah menahan diri dari segala perkara yang ditegah, tetapi itu sukar, maka Allah memerintahkan untuk menahan diri dari yang membatalkan puasa, dan memberi peringatan kepada orang yang lalai supaya menahan diri dari perkara-perkara yang ditegah. Ini diterangkan oleh Hadith diatas yang menjelaskan kehendak Allah s.w.t..
(Fath al-Bari 4: 117-118).
Dari keterangan-keterangan di atas maka seseorang yang berpusa hendaklah menjauhi berdusta (al-kadhib), memperkatakan perkataan yang kotor dan keji (al-rafath), dan melakukan perbuata orang yang jahil seperti memekik melaung dan segala perkara yang dilarang oleh syarak. Kerana sekurang-kurangnya perkara-perkara ini mengurangkan pahala puasa, atau terus ditolak puasanya tanpa sebarang pahala, sekalipun puasanya sah, tidak kena qadha’.
Sama-samalah kita berusaha dan berdoa, agar Allah menerima puasa kita dan memberi balasan dengan sebaik-baiknya yang tidak mengetahui balasan itu kecuali hanya Dia sahaja.


وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه  اجمعين.  والحمد لله رب العالمين