Hukum musafir pada hari Jumaat

Dr. Udah Mohsin
بسم الله الرحمن الرحيم

Hukum musafir pada hari Jumaat

Apa yang dibincangkan di sini ialah musafir sebelum menunaikan solat Jumaat yang merupakan kewajipan ke atas orang yang mukallaf yang mencukupi syarat-syatnya. Oleh itu musafir setelah solat Jumaat tidak dibincangkan di sini. Hukumnya adalah harus kerana orang itu telah menunaikan kewajipannya.

Musafir pada hari Jumaat itu ada tiga waktu.

Pertama.
Musafir sebelum fajar iaitu sebelum masuk waktu Subuh.
Orang yang pergi musafir pada hari Jumaat sebelum fajar adalah harus, tanpa khilaf. Ini bererti dia mendapat kemudahan jamak dan qasar.

Kedua.
Orang yang musafir setelah gelincir matahari.
Orang yang musafir setelah gelincir matahari, jika dia solat Jumaat dalam perjalanannya, kerana dia mengetahui dalam perjalanannya itu ada tempat yang dia solat Jumaat padanya dan dia mengetahui dia dapat solat Jumaat pada tempat itu, maka harus baginya untuk musafir pada ketika itu, dan dia hendaklah solat Jumaat pada tempat itu. Imam al-Nawawi berkata: ini tidak ada khilaf padanya.

Jika dalam perjalanannya itu tidak ada tempat untuk solat Jumaat maka jika baginya mudarat jika dia tidak musafir ketika itu seperti semua kawan-kawanya bertolak ketika itu dan mudarat baginya jika dia tidak keluar musafir bersama-sama mereka, maka ketika itu harus baginya musafir ketika itu. Menurut Imam al-Nawawi: Inilah yang dipegang oleh al-mazhab dan yang diputuskan oleh jamhur ulama. (al-Majmu` 4: 367.) Jika tiada terdapat sebab seperti di atas,  tidak harus baginya musafir ketika itu.

Ketiga
Musafir di antara setelah terbit fajar dengan gelincir matahari, Imam al-Nawawi berkata: Apabila kami haruskan musafir setelah gelincir matahari maka di sini lebih lagi keharusannya. (al-Majmu` 4: 368.). Ini bermaksud: Apabila seseorang itu mengetahui bahawa dalam perjalanannya itu ada tempat untuk solat  Jumaat, dengan ibarat yang lain: Jika dalam perjalanan seseorang  itu dia mengetahui ada masjid yang mendirikan solat Jumaat dan dia dapat solat Jumaat di masjid itu maka bolehlah baginya musafir setelah terbit fajar.  
Jika tidak, maka ada dua pendapat yang masyhur sebagai mana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi:

Pertama
Pendapat yang lebih sahih hukumnya tidak harus iaitu tidak boleh.

Kedua
Harus, iaitu boleh.
Kedua-dua hukum di atas adalah pada musafir yang harus. Adapun pada musafir untuk ketaatan kepada Allah s.w.t. sama ada wajib atau sunat maka kata Imam al-Nawawi: Menurut yang telah diputuskan oleh ulama-ulama `Iraq,  berlakulah kedua-dua hukum tersebut. (Tidak harus, iaitulah yang lebih sahih, dan ada yang mengatakan harus).  Apa yang diputuskan oleh al-Qadi Husayn dan al-Baghawi dan yang lain dari kedua-duanya dari kalangan ulama Khurasan adalah harus. Mereka mengatakan kedua-dua hukum di atas iaiatu khilaf di antara harus dengan tidak adalah dalam musafir yang harus. Al-Mutawwali berkata: Dalam musafir untuk ketaatan ada dua jalan. Pertama, Mengikut al-Mazhab adalah harus. Kedua, ada dua pendapat. (al-Majmu` 4: 368.).

Apabila diharamkan musafir maka tidak boleh mendapat kemudahan musafir selagi belum habis waktu solat Jumaat, kemudian apabila telah habis solat Jumaat iaitu dengan imam memberi salam,  itu dikira permulaan musafirnya. Ini di sebut oleh al-Qadi Husayn dan al-Baghawi. (al-Majmu` 4: 368.).
Hukum musafir setelah solat Jumaat adalah harus.

Pendapat mazhab-mazhab ulama mengenai musafir (safar) pada hari Jumaat dan malamnya.
Imam al-Nawawi menerangkan: Musafir pada malam Jumaat sebelum terbit fajar adalah harus di sisi kami dan di sisi semua ulama,  kecuali pendapat yang batil.

Adapun musafir (safar) pada hari Jumaat setelah gelincir matahari jika tidak takut ketinggalan kawan dan tidak dapat solat Jumaat maka adalah tidak harus di sisi kami. Inilah juga pendapat Malik, Ahmad dan Daud. Ibn al-Munzir juga menghikayatkannya daripada Ibn Umar, `Aishah, Ibn al-Musayyab dan Mujahid. Manakala Abu Hanifah mengatakan harus.

Adapun musafir di antara terbit fajar dengan gelincir matahari maka menurut pendapat yang lebih sahih di sisi kami adalah haram.   Inilah yang diperkatakan oleh Ibn Umar, `Aishah dan al-Nakha`i. Manakala `Umar bin al-Khattab, al-Zubayr bin al-`Awam, Abu `Ubaydah, al-Hasan, Ibn Sirin, Malik, dan Ibn al-Munzir adalah mengharuskan. Mereka berdalilkan kepada Hadith yang amat da`if.  Imam al-Nawawi menjelaskan dalam masalah ini tidak terdapat Hadith sahih.(al-Majmu` 4: 368).

Sebelum ini telah diterangkan oleh Imam al-Nawawi: Orang yang musafir setelah gelincir matahari dan dia tahu dia dapat solat Jumaat dalam perjalanannya hukumnya adalah harus. Oleh itu jika seseorang itu musafir setelah terbit matahari dan dia mengetahui dia dapat solat Jumaat dalam perjalanannya adalah lebih utama dari segi keharusannya.