PUASA SUNAT

Dr Udah bin Mohsin.
بسم الله الرحمن الرحيم

Puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa hari Isnin dan Khamis

Galakan berpuasa tiga hari dalam sebulan
Di antaranya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: «صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ»
صحيح البخاري (3 / 41):
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya, kekasihku s.a.w. berwasiat kepada aku tiga perkara, iaitu puasa tiga hari dari setiap bulan, dua rakaat sembahyang Duha, dan aku mengerjakan sembahyang witir sebelum tidur.
Nas di atas menunjukkan di antara wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurayrah r.a. ialah puasa tiga hari bagi setiap bulan.
Dalam Hadith yang lain:
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّكَ لَتَصُومُ الدَّهْرَ، وَتَقُومُ اللَّيْلَ؟» ، فَقُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ هَجَمَتْ لَهُ العَيْنُ، وَنَفِهَتْ لَهُ النَّفْسُ، لاَ صَامَ مَنْ صَامَ الدَّهْرَ، صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ» ، قُلْتُ: فَإِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: «فَصُمْ صَوْمَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا، وَلاَ يَفِرُّ إِذَا لاَقَى»
صحيح البخاري (3 / 40):
Bermaksud: Aku mendengar Abdullah bin `Amrw bin al-`As r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda: Bahawasanya engkau berpuasa sepanjang tahun  dan bangun di waktu malam? Jawabku ,ya, Nabi s.a.w. menjawab: Bahawasanya engkau jika engkau lakukan yang demikian, cengkung matamu dan lemah dirimu.  Tiada puasa bagi orang yang puasa sepanjang tahun. Puasa tiga hari (dalam sebulan) adalah puasa sepanjang tahu. Aku menjawab: Aku mampu lebih dari itu, Nabi s.a.w. menjawab: Puasalah puasa Nabi Daud a.s. Baginda Nabi Daud a.s. berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Nabi Daud tidak lari ketika bertemu.
Di antara kandungan Hadith di atas ialah berpuasa tiga hari dalam sebulan adalah puasa keseluruhan tahun, atau dengan lain perkataan berpuasa tiga hari dalam sebulan adalah sama dengan puasa sepanjang tahun. Rasulullah s.a.w. menjelaskan kelebihan ini setelah Baginda menyatakan: Tiada puasa bagi orang yang puasa sepanjang tahun, ini menunjukkan betapa besar kelebihan puasa tiga hari dalam sebulan.
Dalam hadith yang lain:
وَإِنَّ بِحَسْبِكَ أَنْ تَصُومَ كُلَّ شَهْرٍ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ، فَإِنَّ لَكَ بِكُلِّ حَسَنَةٍ عَشْرَ أَمْثَالِهَا، فَإِنَّ ذَلِكَ صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ»
صحيح البخاري (3 / 39):
Bermaksud: Dan Bahawasanya memadai bagimu bahawa engkau berpuasa pada setiap bulan tiga hari, maka bahawasanya bagimu pada setiap kebaikkan 10 ganda, maka bahawasanya yang demikian itu puasa sepanjang tahun keseluruhannya.
Hadith di atas menunjukkan mengapa cukup bagimu puasa tiga hari dalam sebulan. Ini ialah kerana setiap kebaikkan dibalas dengan 10, jika tiga hari maka jadinya 30 hari, sedangkan satu bulan itu paling banyak 30 hari, ini bererti engkau puasa sepanjang bulan. Apabila engkau berpuasa sepanjang bulan maka bererti engkau juga berpuasa sepanjang tahun.  Ini tidak masuk puasa bulan Ramadan kerana yang dibincang di sini ialah puasa sunat sedangkan puasa di bulan Ramadan adalah wajib. Oleh kerana itu dalam nas yang lain menyebut:
«صَوْمُ ثَلَاثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ، صَوْمُ الدَّهْرِ»
صحيح مسلم (2 / 819):
Bermaksud: Puasa tiga hari dari setiap bulan, dan puasa bulan Ramadan sehingga bulan Ramadan adalah puasa sepanjang tahun.
Nas-nas di atas menggalakkan kita supaya berpuasa tiga hari dalam sebulan. Ia adalah puasa sepanjang tahun. Manakala bagi bulan Ramadan maka puasanya hendaklah keseluruhan bulan.

Sebaik-baiknya jika seseorang itu berpuasa tiga hari sebulan ia adalah pada ayyam al-baid.
Maksud ayyam al-baid ialah hari-hari bagi malam bulan terang, iaitu hari 13,14 dan 15.

Di antara Hadith-Hadithnya:
عن أَبَى ذَرٍّ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا ذَرٍّ، إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَصُمْ ثَلَاثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ» وَفِي البَابِ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ، وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، وَقُرَّةَ بْنِ إِيَاسٍ المُزَنِيِّ، وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، وَأَبِي عَقْرَبٍ، وَابْنِ عَبَّاسٍ، وَعَائِشَةَ، وَقَتَادَةَ بْنِ مِلْحَانَ، وَعُثْمَانَ بْنِ أَبِي العَاصِ، وَجَرِيرٍ.: " حَدِيثُ أَبِي ذَرٍّ حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَقَدْ رُوِيَ فِي بَعْضِ الحَدِيثِ: أَنَّ مَنْ صَامَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ كَانَ كَمَنْ صَامَ الدَّهْرَ
سنن الترمذي ت شاكر (3 / 125):
Bermaksud: Daripada Abu Dhar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Abu Dhar! Jika engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan maka berpuaslah pada 13, 14, dan 15.
Menurut Imam al-Tirmidhi: Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dhar r.a. adalah Hadith hasan.  Menurut Imam al-Tirmidhi lagi: Bahawasanya sesiapa yang berpuasa tiga hari pada setiap bulan dia adalah seperti orang yang berpuasa sepanjang tahun.
Hadith di atas menunjukkan jika seseorang itu berpuasa tiga hari dalam sebulan maka hendaklah dilakukan pada hari 13, 14 dan 15.
Dalam Hadith yang lain:
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «صِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ صِيَامُ الدَّهْرِ، وَأَيَّامُ الْبِيضِ صَبِيحَةَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ»
سنن النسائي (4 / 221):
 [حكم الألباني] حسن
سنن النسائي (4 / 221):
Bermaksud: Daripada Jarir bin Abdullah daripada Nabi s.a.w. sabdanya: Puasa tiga hari dari setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun, dan ayyam al-baid ialah pagi 13, 14 dan 15.
Dalam Hadith yang lain:
عَنْ ابْنِ مِلْحَانَ الْقَيْسِيِّ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ، قَالَ: وَقَالَ «هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ»
سنن أبي داود (2 / 328):
[حكم الألباني] : صحيح
سنن أبي داود (2 / 328):
Bermaksud: Daripada Ibn Milhanal-Qaysi daripada bapanya: katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. Baginda menyuruh kami berpuasa hari-hari bulan terang 13, 14 dan 15. Bapanya berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Ia seperti bentuk puasa sepanjang tahun.
Rasulullah s.a.w tidak meninggalkan puasa ayyam al-baid
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُفْطِرُ أَيَّامَ الْبِيضِ فِي حَضَرٍ وَلَا سَفَرٍ»
سنن النسائي (4 / 198):
Bermaksud: Daripada Ibn Abbas katanya: Rasulullah s.a.w. Baginda tidak berbuka pada hari-hari bulan terang, ketika bermukim atau musfir.
Kata Imam al-Nawawi dalam Riad al-Salihin sanadnya hasan.( al-Nawawi 1982, 491.
Dari apa yang dibincangkan menunjukkan suruhan berpuasa pada hari-hari bulan terang iaitu ayyam al-baid, dan sekiranya seseorang itu puasa tiga hari dalam sebulan maka lakukanlah pada hari-hari tersebut, iaitu hari 13, 14 dan 15 bagi setiap bulan.

Adakah semestinya jika seseorang itu  berpuasa tiga hari dalam sebulan  dilakukan pada ayyam al-baid
Galakkan puasa tiga hari dalam sebulan bukan semestinya dilakukan pada ayyam al-baid sahaja, tetapi boleh juga dilakukan pada hari-hari yang lain, tetapi yang afdal iaitu yang sebaik-baiknya dilakukan pada hari-hari tersebut.
Dalilnya
عن مُعَاذَةُ الْعَدَوِيَّةُ، أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟» قَالَتْ: «نَعَمْ» ، فَقُلْتُ لَهَا: «مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ؟» قَالَتْ: «لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ»
صحيح مسلم
 (2 / 818):
Bermaksud: Daripada  Mu`adhah al-`Adawiyyah bahawasanya beliau bertanya `Aishah, isteri Nabi s.a.w.,: Adakah Rasulullah s.a.w. Baginda berpuasa dari setiap bulan selama tiga hari? Jawab Saidatina `Aishah, ya, maka kataku kepadanya: Dari hari-hari mana bagi satu-satu bulan Baginda berpuasa? Jawabnya: Baginda tidak peduli dari mana hari-hari bagi sesuatu bulan Baginda berpuasa.
Hadith di atas menunjukkan bahawa adalah tidak ditetapkan hari apa, atau yang manakah hari Baginda berpuasa bagi satu-satu bulan.
Dalam Hadith lain:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ يَعْنِي مِنْ غُرَّةِ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ»
سنن أبي داود (2 / 328):
 [حكم الألباني] : حسن
سنن أبي داود (2 / 328)
Bermaksud: Daripada `Abd Allah r.a. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa dari awal setiap bulan sebanyak tiga hari.
Dalam riwayat yang lain:
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ: " كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ: الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ مِنْ هَذِهِ الْجُمُعَةِ، وَالِاثْنَيْنِ مِنَ الْمُقْبِلَةِ
 (4 / 203): سنن النسائي
 [حكم الألباني] حسن لكن الأصح بلفظ وخميس
(4 / 203): سنن النسائي
Bermaksud: Daripada Umm Salamah katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. Baginda berpuasa dari setiap bulan tiga hari, Isnin dan Khamis dari minggu ini, dan Isnin dari minggu yang akan datang.
Hadith di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w. berpuasa bagi setiap bulan tiga hari, iaitu Isnin, Khamis dan Isnin bagi minggu akan datang.
Dalam Hadith yang lain:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنَ الشَّهْرِ السَّبْتَ، وَالأَحَدَ، وَالِاثْنَيْنِ، وَمِنَ الشَّهْرِ الآخَرِ الثُّلَاثَاءَ، وَالأَرْبِعَاءَ، وَالخَمِيسَ» : «هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ»
(3 / 113): سنن الترمذي ت شاكر
Bermaksud: Daripada Aishah r.a. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa dari setiap bulan, Sabtu, Ahad dan Isnin, dan dari bulan yang lain pula, Selasa, Rabu dan Khamis.
Dari Hadith-Hadith di atas menunjukkan jika seseorang itu hendak puasa tiga hari dalam sebulan maka tidak semestinya pada ayyam al-baid tetapi boleh pada hari-hari yang lain.
Kata Imam al-Nawawi:
والأفضل صومُها في الأيام البيض وهي الثالثَ عشر والرابعَ عشر والخامسَ عشر، وقِيل: الثاني عشر، والثالِثَ عشر، والرابعَ عشر، والصحيح المشهور هُوَ الأول.
(1 / 341): رياض الصالحين ت ماهر الفحل
Bermaksud: Yang afdal puasa tiga hari itu adalah pada hari-hari bulan terang, iaitu 13, 14, dan 15. Ada dikatakan hari 12, 13 dan 14, tetapi yang sahih lagi masyhur ialah yang petama. (13,14 dan 15.).
Perkataan afdal tidak menunjukkan kepada semestinya tetapi ia menunjukkan kepada yang lebih baik.

Kesimpulan
Suruhan supaya berpuasa tiga hari dalam sebulan bagi setiap bulan dalam setahun. Ia menyamai puasa sepanjang tahun. Ini ialah kerana sebulan itu paling banyak 30 hari, manakala satu kebaikkan dibalas dengan sepuluh. Jadi, tiga hari kali 10 sama dengan 30 hari, ini bererti dia berpuasa sepanjang bulan. Apabila dia berpuasa sepanjang bulan maka ia menyerupai puasa sepanjang tahun, Lalu dikatakan puasa sepanjang tahun. Jika seseorang itu berpuasa tiga hari sahaja dalam sebulan maka sebaik-baiknya iaitu yang afdal dilakukan pada ayyam al-baid iaitu hari 13, 14 dan 15. Ini bererti jika dilakukan pada hari-hari yang lain seperti Isnin dan Khamis, dan Isnin minggu akan datang pun boleh juga, tetapi tidak mendapat yang afdal.
  
Puasa Hari Isnin dan Khamis

Di antara Hadith-Hadith yang ada kaitan dengan puasa pada hari Isnin dan Khamis ialah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ» : «حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ فِي هَذَا البَابِ حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ»
(3 / 113): سنن الترمذي ت شاكر
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Dibentangkan segala amalan pada hari Isnin dan hari Khamis, maka aku suka bahawa amalanku dibentangkan sedangkan aku berpuasa.
Menurut Imam al-Tirmidhi Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah dalam bab ini adalah Hadith hasan gharib.
Hadith di atas menunjukkan bahawa amalan yang dilakukan manusia itu dibentangkan  kepada Allah s.w.t  pada hari Isnin dan Khamis. Nabi suka supaya hari pembentangan amalan itu Baginda berpuasa.
Hadith yang lain pula:
عَنْ أَبِي صَالِحٍ، سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ، رَفَعَهُ مَرَّةً قَالَ: " تُعْرَضُ الْأَعْمَالُ فِي كُلِّ يَوْمِ خَمِيسٍ وَاثْنَيْنِ، فَيَغْفِرُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ، لِكُلِّ امْرِئٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا امْرَأً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: ارْكُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، ارْكُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا "
(4 / 1987 : صحيح مسلم)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. beliau meriwayatkan sekali dengan cara yang marfu` kepada Rasulullah s.a.w. sabdanya: Dibentangkan segala amalan itu pada hari Khamis dan Isnin, lalu Allah a.w.j. mengampunkan pada hari itu kepada setiap manusia yang tidak menyukutukan Allah dengan sesuatu, kecuali orang yang di antaranya dan di antara saudaranya pergaduhan, maka dikatakan kepadanya: lambatkan/tangguhkan kepada dua orang ini sehingga kedua-duanya berbaik-baik.
Di antara kandungan Hadith di atas ialah amalan seseorang itu dibentangkan kepada Allah s.w.t. pada hari Isnin dan Khamis.
Dalam riwayat yang lain:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: «كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ» وَفِي البَابِ عَنْ حَفْصَةَ، وَأَبِي قَتَادَةَ، وَأَبِي هُرَيْرَةَ، وَأُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ.: «حَدِيثُ عَائِشَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الوَجْهِ»
(3 / 112: سنن الترمذي ت شاكر)
Bermaksud: Adalah Rasulullah s.a.w. menjaga dengan sebaik-baiknya (kerana besar kelebihannya) puasa hari Isnin dan Khamis.
Mengenai kelebihan puasa hari Isnin:
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ؟ قَالَ: «ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ – أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيه
 (2 / 819 : صحيح مسلم)
Bermaksud: Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin? Baginda menjawab: Hari itu adalah hari yang aku dilahirkan padanya, dan hari aku diutuskan menjadi rasul, atau hari yang aku diwahyukan padanya.
Dari Hadith-Hadith yang telah disebutkan di atas adalah baik bagi kita untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.
Jika ditimbulkan persoalan mana yang lebih afdal di antara puasa tiga hari dalam sebulan dengan puasa setiap hari Isnin dan Khamis? Jawabnya: Puasa hari Isnin dan Khamis adalah lebih afdal. Ini kerana orang yang berpuasa hari Isnin dan Khamis dia telah berpuasa lebih dari tiga hari pada bulan itu. Untuk berpuasa tiga hari dalam sebulan tidak semestinya dilakukan pada ayyam al-baid sahaja, bahkan boleh dilakukan pada hari-hari yang lain sebagaimana yang telah dijelaskan. Dengan ini mudah-mudahan orang yang melakukan puasa hari Isnin dan hari Khamis itu dia mendapat pahala puasa tiga hari dalam sebulan, di samping pahala puasa hari Isnin dan Khamis. Dengan ini dia mendapat dua kelebihan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه  اجمعين.  والحمد لله رب العالمين